comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Perkongsian 503 Squadron sentuh hati warganet

KUALA LUMPUR: Perkongsian Facebook 503 Squadron, yang memaparkan lambaian lima kru udara Skuadron 503 kepada rakan setugas mereka yang menaiki dua Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 ketika berlepas dari pangkalan di Kota Kinabalu ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM) Lumut Perak pada 19 April lalu, meruntun jiwa warganet.

Itu menjadi kenangan terakhir apabila sebuah daripada pesawat itu terhempas hari ini.

Berdasarkan perkongsian, pasukan itu menghantar dua pesawat HOM-AW139 membabitkan sembilan kru udara dan 11 juruteknik ke Lumut, Perak untuk menyertai latihan dan raptai sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan awal bulan depan.

Pasukan itu diketuai Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli, yang turut bertindak sebagai juruterbang sebuah daripada helikopter pasukan itu.

Paling menyedihkan apabila satu gambar memaparkan lambaian lima sahabat mereka dengan kapsyen

‘Lambaian penuh makna daripada sebahagian kru yang tinggal, selepas ini mereka mungkin boleh balik awal selalu? Entah, min (admin) masih mampu bersangka baik’ seakan-akan menggambarkan kejadian itu.

Dalam nahas pagi ini, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.

Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.Pesawat HOM dinaiki tujuh kru, manakala tiga lagi berada dalam Fennec.

Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Tiada yang terselamat dalam nahas itu, namun setakat ini TLDM belum mengeluarkan senarai nama mangsa yang terkorban secara rasmi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini