comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu MCKK: Tindakan undang-undang bakal diambil PIBG, ibu bapa

Wakil kepada PIBG MCKK menunjukkan laporan polis yang dibuat berkaitan ugutan dan ancaman di media sosial kepada pelajar di hadapan Balai Polis Travers. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang bakal diambil terhadap tiga pemilik akaun media sosial yang dipercayai memuat naik kenyataan berunsur fitnah dan fakta tidak tepat mengenai isu melanda Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) institusi berkenaan dan beberapa ahli keluarga pelajar berbuat demikian selepas mendapati insiden yang ditularkan minggu lalu menjadi tidak terkawal.

Peguam mewakili PIBG dan ahli keluarga, Hasshahari Johari Mawi berkata pihak PIBG tampil membuat laporan polis hari ini mengambil kira reaksi, ugutan dan ancaman yang diterima pelajar, ibu bapa dan guru MCKK.

Melalui laporan polis yang dibuat itu diharapkan orang ramai berhenti mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

“Selanjutnya, saya diarahkan anak guam untuk meneruskan tindakan undang-undang ke atas individu pengguna media sosial yang sudah dikenal pasti kerana memuat naik hantaran berunsur fitnah dan tidak benar.

“Kita juga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas wakil PIBG membuat laporan polis di Balai Polis Travers, di sini.

Sementara wakil PIBG yang ditemui enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu kerana masih dalam siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan, pelajar MCKK yang disyaki terbabit dalam kes buli, mendakwa diganggu di sekitar pekan Kuala Kangsar selepas kes itu tular di media sosial.

Harian Metro turut melaporkan ibu mangsa buli itu yang berharap hukuman setimpal dikenakan (terhadap pembuli) kerana anaknya yang masih mahu bersekolah di MCKK dan akan bertemu dengan pelajar senior terbabit.

Ibu mangsa juga mahu keadilan ditegakkan buat anaknya berusia 16 tahun, yang didakwa menjadi mangsa buli pada 24 September lalu.

Wanita terbabit yang enggan dikenali berkata, pihaknya tiada niat menularkan kejadian kerana dalam hantaran di platform media sosial itu tiada disertakan nama sekolah dan hanya menceritakan apa yang berlaku.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini