comscore
Tumpuan :
Nasional

Jerebu : Kebakaran hutan di Sumatera, Kalimantan punca IPU tidak sihat – JAS

PETALING JAYA: Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia punca kualiti udara buruk yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di beberapa bahagian negara semalam, menurut Jabatan Alam Sekitar.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kebakaran hutan telah menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan pantai barat Semenanjung serta bahagian barat Sarawak.

 

“(Berdasarkan) imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, 52 titik panas dikesan di Sumatera, 264 dikesan di Kalimantan dan tiada titik panas dikesan di dalam negara,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Keadaan cuaca kering jelasnya dijangka berterusan di bahagian tengah dan selatan Sumatera, serta selatan Kalimantan, dengan gugusan titik panas melepaskan asap jerebu tebal yang ditiup angin ke arah barat laut.

Bagaimanapun, beliau berkata, hujan di beberapa bahagian barat Kalimantan mungkin membantu mengurangkan keadaan titik panas dan berjerebu.

Setakat jam 7 pagi ini, Cheras mencatatkan bacaan IPU paling tidak sihat pada 153.

Kualiti udara buruk turut dikesan di Petaling Jaya (127) dan Shah Alam (150).

Nilai di Negeri Sembilan turut mengalami  jerebu dengan IPU meningkat kepada 151 berbanding 133 jam 11 malam tadi.

Bahagian lain di negara ini mencatatkan bacaan IPU baik dan sederhana.

Menurut Wan Abdul Latif, JAS telah meningkatkan aktiviti penguatkuasaannya selain Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan untuk menyelaraskan agensi kerajaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini