comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat Zayn Rayyan dijumpai dengan kerjasama polis & 200 penduduk

PETALING JAYA: Penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, selepas pihak polis bersama hampir 200 penduduk menyusun kumpulan pencarian.

Operasi berkenaan sejak jam 9 malam tadi, diketuai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, dan pegawainya mewujudkan 18 kumpulan untuk memeriksa 2,484 unit kediaman di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.

Selepas sesi taklimat di Dewan Orang Ramai, Blok L, Apartment Idaman, sejumlah 18 kumpulan dengan setiap kumpulan disertai tiga anggota polis memulakan pemeriksaan sekitar jam 9.40 malam.

Sekitar jam 10.05 malam, Mohamad Fakhrudin, menerima panggilan menyatakan Zayn sudah ditemukan, namun pada waktu itu situasi sebenar sama ada kanak-kanak malang berkenaan masih bernyawa atau sebaliknya masih belum dapat dipastikan.

Dari blok rumah Zayn, Mohamad Fakhrudin kemudian dibawa oleh anggotanya ke satu kawasan belukar sejauh 200 meter menuju ke kawasan anak sungai.

Di sungai itu, belasan penduduk dan anggota polis sedang berada di lokasi penemuan mayat Zayn yang sudah terbaring lengkap dengan pakaian baju dan seluar biru yang dipakainya ketika dilaporkan hilang.

Sekitar jam 10.20 malam, Mohamad Fakhrudin mengesahkan Zayn meninggal dunia dan meminta orang ramai yang berada di kawasan mayat ditemui untuk mengosongkan lokasi berkenaan.

Langkah itu adalah bagi membolehkan proses siasatan awal polis dijalankan.

Lebih memilukan, bapa Zayn Rayyan dilihat sukar menerima berita penemuan menyedihkan itu dan pengsan beberapa kali.

Kawasan parkir Apartmen Idaman turut dipenuhi kira-kira 100 orang yang berkongsi kesedihan keluarga Zayn Rayyan, sambil ahli keluarga dan jiran menenangkan ibu bapanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini