comscore
Tumpuan :
Nasional

Musim tengkujuh dijangka bermula Sabtu ini – METMalaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 atau musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada Sabtu ini (11 November) dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.

Beliau berkata, semasa fasa awal MTL bermula bulan ini hingga Januari depan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

“Bagaimanapun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri lain dalam negara.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Manakala, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac tahun depan dijangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah, Labuan dan utara Sarawak) mengalami kurang hujan.

“Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac tahun depan berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba.

“Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun depan dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024,” katanya.

Berikutan keadaan semasa, Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia.

“Maklumat boleh didapati melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini