comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas Putrajaya: Dua maut adalah pekerja Pos Malaysia, Mahkamah Ampang 

PUTRAJAYA: Identiti dua penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler merempuh beberapa kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong di sini hari ini, sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, iaitu pekerja di Mahkamah Ampang.

Artikel berkaitan: {KEMAS KINI} [VIDEO] Dua maut, enam cedera nahas 10 kenderaan 

Beliau berkata, pengecaman Faris Haziq dibuat oleh ayahnya, manakala Yuswar oleh isterinya di Unit Forensik Hospital Putrajaya, masing-masing kira-kira jam 5.30 petang.

“Bedah siasat kedua-dua mangsa akan dibuat esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu, A Asmadi berkata, semuanya terdapat 14 individu terbabit termasuk dua yang maut, berbanding lapan yang dilaporkan sebelum ini.

Dua pemandu kereta dikenali Karli Rastio, 69, serta Abdul Latif Ahmad, 58, dilaporkan parah dan masing-masing dirawat di zon merah Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Nahas maut babit 10 kenderaan, pemandu lori ditahan

Pemandu treler berkenaan mengalami luka ringan di tangan, manakala baki yang terbabit, ada yang patah tangan dan ada juga yang tidak cedera.

A Asmadi berkata, jumlah keseluruhan kenderaan terbabit dalam kemalangan itu ialah 14 buah, iaitu sebuah treler dan sebuah lori, tujuh kereta serta lima motosikal, termasuk sebuah motosikal polis trafik.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap pemandu treler didapati negatif dan pemandu itu akan direman esok, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.– BERNAMA

Loading...
Terkini