comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas Putrajaya: Laporan lengkap diserah kepada APAD, Isnin ini

Kemalangan yang mengakibatkan dua penunggang motorsikal maut manakala tujuh lagi cedera membabitkan 12 kenderaan di Persiaran Utara Putrajaya-Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Laporan lengkap berhubung nahas kemalangan di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara di Putrajaya, akan diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada Isnin ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata, agensinya terbabit dalam siasatan kemalangan yang meragut dua nyawa itu.

“JPJ baru sahaja terima laporan mengenai kemalangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis. Jadi selepas terima laporan itu, kita buat siasatan.

“Kini kita dalam proses menyiapkan laporan pemeriksaan keselamatan jalan raya dan laporan itu akan diserahkan kepada APAD pada Isnin depan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar (Timur) di sini, malam tadi.

Dalam kejadian Rabu lalu, dua penunggang motosikal maut, manakala tujuh cedera selepas treler membawa muatan batu pasir merempuh sejumlah kenderaan di lokasi kejadian.

Mangsa maut, pekerja Pos Malaysia, Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan pekerja di Mahkamah Ampang, Yuswar Mohd Uyus, 39.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, siasatan secara menyeluruh dijalankan termasuk mengenal pasti jumlah muatan bahan dibawa treler yang menyebabkan berlaku kemalangan itu.

“Ini antara tugas pasukan penyiasat JPJ, yang mana kita bukan setakat melihat di kawasan kemalangan tapi juga ke lokasi lori itu bermula dan mengambil bahan muatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, APAD dalam satu kenyataan memaklumkan mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada pengendali treler yang terbabit dalam kemalangan maut di Putrajaya.

APAD turut bekerjasama dengan agensi terbabit bagi mendapatkan laporan berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut terhadap syarikat pengendali dapat dilaksanakan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini