comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pemandu treler mengaku tidak bersalah sebabkan nahas 14 kenderaan

 

Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA : Pemandu treler mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kemalangan membabitkan 14 kenderaan yang meragut dua nyawa di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, 29 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Aima Nabila Muhammad Azhar di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Lelaki berkenaan didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun termasuk denda maksima RM50,000.

Mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh sebanyak RM5,000.

Dalam masa sama tertuduh diarah melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Oktober ini.

Dalam kejadian yang berlaku jam 10.15 pagi 20 September lalu, treler yang dipandu tertuduh melanggar deretan kenderaan yang sedang berhenti di laluan terbabit menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, petugas di Mahkamah Ampang.

Semakan mendapati pemandu treler berkenaan tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini