comscore
Tumpuan :
Jenayah

Nahas Putrajaya: Pemandu lori direman empat hari

PUTRAJAYA: Seorang pemandu lori treler yang terbabit dalam nahas 14 kenderaan di Jalan Persiaran Utara, berdekatan Presint 12 di sini semalam ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Terdahulu, pemandu berusia 29 tahun itu dengan kedua-dua tangan berbalut dipercayai akibat nahas pagi semalam dibawa pihak polis ke Istana Kehakiman kira-kira pukul 9 pagi.

Tahanan reman itu membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.14 pagi semalam, dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori treler bermuatan pasir dan batu selain 14 mangsa lain cedera.

Mangsa yang maut dikenali Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga kakitangan Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39 tahun, penjawat awam di Mahkamah Ampang.

Nahas membabitkan 14 buah kenderaan termasuk lima motosikal dan sebuah motosikal pengiring polis, tujuh buah kereta dan dua buah lori.

Siasatan mendapati, nahas berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir dan batu dari arah Kajang menghala ke Puchong hilang kawalan dan melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Selain itu, sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Yamaha FJR 1300 yang sedang membuat penutupan jalan semasa program latihan dalam perkhidmatan Le Tour De Langkawi 2023 (LTdL) turut terlibat dalam nahas sama.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini