comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut dilanggar kereta: KPM ziarah keluarga petang ini, tawar kaunseling 

Foto tular mengenai kejadian berhampiran SMK Jati, di Meru, Ipoh semalam memaparkan gambar pelajar lelaki berkenaan yang didakwa dilanggar lari oleh sebuah kereta.

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, yang maut akibat dilanggar kereta berhampiran sekolah itu, semalam.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, khidmat sokongan itu juga akan diberi kepada pelajar lain yang menyaksikan kejadian tragis itu.

“Kes ini membabitkan pelajar sekolah dan saya ingin merakamkan ucapan takziah. Difahamkan kes masih dalam siasatan dan berharap (pihak berwajib) dapat menyegerakannya.

“Pada masa sama, dalam konteks KPM, kita juga menawarkan sokongan dari segi kaunseling sekiranya diperlukan keluarga Allahyarham apabila tragedi ini saya fikir agak menyayat hati.

“Selain itu, ada anak-anak (pelajar) lain berada di lokasi dan turut melihat kejadian terbabit, maka kita akan bantu (kaunseling) bagi mereka yang terkesan,” katanya.

KPM berharap siasatan segera dapat dijalankan pihak berwajib berhubung kes berkenaan.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian selepas merasmikan Program Rintis Steam dan Makmal Steam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng di Sungai Udang di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu Timbalan Menterinya, Wong Kah Wah akan mewakili KPM untuk menziarahi keluarga mangsa, petang ini.

Media melaporkan, Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Ativa disyaki dipandu seorang pegawai kanan polis dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini