comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau: JAS Kedah keluar notis arahan terhadap kilang getah 

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengeluarkan notis arahan terhadap sebuah kilang getah asli mentah yang beroperasi selama 24 jam, di sini kerana menyebabkan pencemaran bau.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam satu kenyataan memaklumkan, notis arahan dibawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan untuk pihak kilang menambahbaik alat kawalan pencemaran udara dan meningkatkan pematuhannya.

“Kami sebelum itu telah menerima aduan orang awam berkaitan bau yang kurang menyenangkan, mengganggu kehidupan penduduk di sekitar Bukit Banyan dan Bintang Maya Residence.

“Kejadian bau busuk ini sering berlaku  pada lewat malam hingga awal pagi.

“JAS telah menjalankan siasatan bagi mengesan masalah bau di kawasan rumah penduduk yang terletak berhampiran Bukit Banyan dan Bintang Maya Residence, Sungai Petani, Kedah.,” katanya.

Hasil pemantauan dan siasatan pada 13 Mac bermula jam 11.00 malam hingga jam 4.00 pagi keesokannya, mengesahkan bau busuk itu berpunca daripada kilang getah asli mentah itu.

“Kilang tersebut menghasilkan produk Standard Malaysia Rubber, SMR10 dan SMR 20.”

“Siasatan terperinci ke atas kilang bagi memastikan semua alat kawalan pencemaran udara berada pada keadaan optimum juga telah dijalankan pada hari yang sama dengan kehadiran orang yang berwibawa (OYB) pihak kilang,” katanya.

JAS Kedah tambahnya akan menjalankan pemantauan semula dalam tempoh 2 minggu, bagi memastikan kilang itu membuat pembaikan dan mematuhi notis arahan yang dikeluarkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini