comscore
Tumpuan :
Nasional

Peranan ketua komuniti luar bandar penting dalam jayakan PADU

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, setakat jam 8 malam tadi, PADU merekodkan sebanyak 396,181 jumlah bilangan pengguna berdaftar.

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan sasaran 29 juta warganegara Malaysia mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibuka mulai semalam hingga 31 Mac ini tercapai, peranan ketua komuniti di kawasan luar bandar akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, dalam memastikan tiada yang terkecuali mendapat manfaat daripada pelaksanaan sistem berkenaan, ia turut membabitkan sesi libat urus bersama kepimpinan kerajaan negeri bagi mencapai sasaran ditetapkan.

“Bagi kawasan pedalaman, gerak kerja pengoperasian telah pun disusun, komunikasi dan perhubungan dengan kerajaan negeri telah kita adakan melalui sesi libat urus.

“Kita ada bermesyuarat dalam platform majlis statistik data negeri yang dipengerusikan oleh Premier, Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri masing-masing dan ada juga melalui Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kita turunkan juga kepada peringkat daerah dan kita berhubung dengan penghulu, ketua-ketua komuniti maknanya usaha untuk kita melihat pelaksanaan pendekatan ‘the whole nation’ (pendekatan menyeluruh) itu telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini maklum balas yang diterima daripada Jabatan Perangkaan Negeri dan kakitangan di lapangan bagi penerimaan sistem itu di kawasan luar bandar adalah positif dibantu oleh usaha penerangan dilakukan oleh Jabatan Penerangan (JaPen).

“Kita juga bekerjasama dengan JaPen melalui pelaksanaan program Info On Wheels, iaitu mereka bergerak dan menyampaikan maklumat mengenai PADU dan sebagainya.

“Publisiti itu berjalan secara meluas dan boleh kita nyatakan satu dua hari ini menunjukkan perkembangan yang baik dan positif,” katanya.

Setakat jam 8 malam 3 Januari, PADU merekodkan sebanyak 396,181 jumlah bilangan pengguna berdaftar.

Mengenai maklum balas beberapa pihak terutama berkaitan keselamatan, Mohd Uzir berkata, sistem itu yang dibangunkan secara dalaman membuatkan ia tangkas, membolehkan sebarang penambahbaikan dilakukan dengan mudah dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Kita mengalu-alukan maklum balas orang ramai, sebenarnya ini adalah proses untuk kita memupuk budaya digital dalam kalangan rakyat dan cendekiawan dalam negara kerana maklum balas positif itu boleh digunakan.

“Ini yang cantiknya bila sistem itu dibangunkan secara dalaman, kita sendiri boleh tambah baik apabila maklum balas itu benar dan membolehkan ia sentiasa ditambah baik,” katanya.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini