comscore
Tumpuan :
Nasional

Reda, namun ralat dengan pemergian abang – adik

Shahrizan Atan, adik kepada Md Rizal Atan, mangsa yang maut dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, petang semalam.

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Meskipun reda, namun saya sedikit ralat kerana arwah pergi dalam sekelip mata.

Itu luahan adik kepada Md Rizal Atan, 47, mangsa yang maut dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, petang semalam.

Shahrizan Atan, 38 tahun, ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur H-K-L berkata, sebelum mengesahkan mangsa yang maut adalah abangnya, anak arwah menelefon memaklumkan ayah mereka gagal dihubungi.

Selain itu, majikan turut memaklumkan arwah yang bertugas sebagai pemandu peribadi tidak sampai ke destinasi untuk mengambil penumbang di salah sebuah hotel di ibu negara.

Menurutnya, sebaik mendapat maklumat dan pengesahan daripada pihak polis, dia terus mengambil isteri arwah, Nofahidah Mat Zaman dan empat anaknya di Taman Medan, Petaling Jaya untuk pengecaman mayat.

“Petang tu saya maklumlah viral pokok tumbang, tapi saya tak jangka itu abang saya.

“Selepas anak dia telefon, saya kebetulan dekat rumah abang sebab nak tengok ayah yang baru keluar dari hospital sebab serangan jantung.. saya tak bagitahu apa-apa lagilah dekat dia yang abang saya, saya kata tenang dulu bagi saya pastikan dulu betul ke abang saya yang nombor tiga,” katanya.

Kali terakhir dia bertemu arwah Jumaat lalu ketika mengadakan jamuan raya dan doa selamat untuk bapanya, Atan Taib, 71 tahun yang mendapatkan rawatan di hospital akibat serangan jantung.

“Abang saya memang seorang abang yang baiklah.. mengambil berat tentang kami adik beradik.. Masa ayah saya dekat hospital pun dia yang banyak membantu sebab dia pemandu peribadi, bos dia pun bagi pinjam kerusi roda dan bagi pinjam kenderaan untuk ambil ayah saya keluar masuk hopital.,” katanya.

Menurutnya lagi, sebelum kejadian arwah sempat menitipkan pesanan terakhir di group whatsapp untuk memastikan ayahnya betul-betul sihat sebelum dapat menerima pelawat.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil daripada pihak keluarga mengenai insiden terbabit, Shahrizan memaklumkan setakat ini tidak ada perbincangan dibuat mengenai tindakan susulan terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandangkan kesemua ahli keluarga masih terkejut.

“Sepatutnya PBT dah maklum lah benda tu sebab saya tengok kejadian tu dah melibatkan benda yang dah uzur (pokok tua), benda yang dah lama sepatutnya diselenggara dengan baiklah.

“Sebab benda ni melibatkan nyawa, saya kehilangan abang sekelip mata… ayah saya cakap kalau apa apa biar ayah pergi dulu tapi sekarang ni anak dia.. anak dia pergi sekelip mata.. peribadi saya, saya ralat la kat situ sebab abang saya takde sakit apa,” katanya sebak.

Menurutnya lagi, jenazah dituntut keluarga pada jam 12 tengahari tadi sebelum disembahyangkan di Masjid al Ehsan Seksyen 24 Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Zuhur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini