comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM sahkan Daim didakwa Isnin ini

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan Tun Daim Zainuddin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Isnin ini.

Pendakwaan itu berhubung kegagalan bekas Menteri Kewangan itu mematuhi notis untuk mengisytiharkan harta.

“Ya (didakwa Isnin ini),” katanya kepada Buletin TV3 ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Terdahulu, Daim seperti dipetik berkata, peguamnya dimaklumkan bahawa beliau akan didakwa pada Isnin ini atas kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 iaitu berkaitan pengisytiharan aset.

Jelasnya, SPRM telah mengambil kenyataannya semalam.

Rabu lalu, Azam mengesahkan SPRM telah mendapat kebenaran dari Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Daim di mahkamah sejak minggu lalu.

Namun ia terpaksa ditangguhkan kerana hartawan berkenaan sedang dalam rawatan di hospital swasta atas masalah kesihatan yang tidak dinyatakan.

Bagaimanapun, keesokan harinya, Azam dilaporkan berkata Daim dijangka didakwa minggu hadapan susulan ahli perniagaan itu sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Daim, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, dijangka berdepan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan beberapa hartanah yang dimiliki bersama isteri beliau, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mematuhi notis SPRM yang mengkehendaki pengisytiharan aset seperti pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta dua kenderaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.

SPRM sebelum ini menjelaskan bahawa siasatan terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan syarikat luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut SPRM, siasatan ke atas Daim dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada Disember tahun lalu, Menara Ilham yang dikaitkan dengan Daim dilaporkan turut disita oleh SPRM.

 

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini