comscore
Tumpuan :
Nasional

Sukar beza tahanan lolos kerana warga asing ramai di sini – Penduduk

Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor – FOTO: NSTP

TAPAH: Penduduk sekitar kawasan Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, di sini, bimbang dengan situasi tahanan depoh yang lolos kelmarin masih bebas.

Penduduk Kampung Tersusun 2 Tambahan, Helmi Nomawi, 43, berkata, kerisauannya serta jiran berganda, disebabkan kawasan sekitar yang ramai dengan warga asing termasuk mereka yang bekerja secara sah di negara ini.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan penduduk mungkin sukar untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sama ada kumpulan warga asing yang dilihat merupakan tahanan yang meloloskan diri, atau warga asing yang datang ke Malaysia secara sah.

“Kawasan ini sememangnya ramai warga asing yang bekerja, tambahan kini kawasan sekitar sedang dibangunkan dengan projek perumahan yang dilengkapi pusat membeli-belah dan terminal bas selain banyak kawasan kebun dan ladang sekitar sini dengan rata-rata pekerjanya adalah warga asing.

“Malah di masjid sini juga ramai jemaahnya dilihat merupakan warga asing. Jadi jika ingin mengenal pasti antara tahanan warga asing yang lolos itu dengan warga asing yang masuk bekerja secara sah di Malaysia, mungkin sukar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mengakui perkara serupa, pesara yang juga penduduk Kampung Tersusun 2 Tambahan di sini, Musa Manap, 66, berkata, kerisauan timbul berikutan ada kemungkinan tahanan yang lolos berkenaan melakukan perkara tidak wajar bagi memperoleh keperluan asas memandangkan sudah tentu mereka lolos sehelai sepinggang.

“Waktu siang mungkin mereka tak keluar tetapi apabila mereka lapar atau waktu malam mereka mungkin akan keluar untuk mencari makanan dan keperluan lain termasuk di rumah penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Perkampungan Orang Asli Kampung Sanding, Bidor, Aziz Bah Meruang, 45, berkata, penenemuan tahanan warga Myanmar yang lolos ditangkap di kampungnya menimbulkan kebimbangan penduduk.

“Memang risau kerana banyak (tahanan) yang masih belum dijumpai dan perkara sebegini belum pernah berlaku di kampung ini, lebih-lebih lagi kerana kampung ini juga banyak remaja dan budak-budak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini