comscore
Tumpuan :
Nasional

Tuntutan Palsu Anak MB Perlis: “Ini baru pertuduhan, kita tunggu keputusan mahkamah” – Mohd Shukri

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (kiri), Mohd Syafeeq (kanan)

ARAU: “Dia belum terbukti salah, ini baru pertuduhan”.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memberi reaksi ringkas itu berhubung pertuduhan tuntutan palsu dihadapi anak lelakinya di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini.

Mohd Shukri memaklumkan, beliau belum menghubungi Mohd Syafeeq, 35, berhubung pertuduhan mahkamah yang dijalankan pagi tadi.

“Saya belum jumpa dia, dia duduk di rumah dia dan saya di rumah saya.

“Saya pun belum bercakap dengan dia lagi tapi saya serahkan semuanya pada dia dan peguam dia, Insya-Allah”, katanya ketika ditemui di Majlis Pemashyuran Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussain di Arau, siang tadi.

Dalam pendakwaan itu, Mohd Syafeeq membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM19,000 pada Februari lepas.

Mengikut pertuduhan itu, Mohd Syafeeq dituduh memberi kepada seorang ejen iaitu Nurul Nabilah Mohd Shukri yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis satu dokumen iaitu Pesanan Kerajaan (Bekalan/Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis dengan niat memperdayakan prinsipalnya.

Pertuduhan itu menyebut bahawa dokumen bertarikh 14 Februari berjumlah RM19,505.10 atas nama Mohd Farid Abdul Hamid berkaitan Perkhidmatan Menyediakan Minuman untuk Kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah, disini, yang berkenaan dengannya prinsipal itu mempunyai kepentingan.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi butir matan palsu yang dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya dan perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 19 Februari lepas.

Sehubungan itu, Mohd Syafeeq dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(2) akta sama.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah hingga kes selesai.

28 Jun ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen berkaitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini