comscore
Tumpuan :
Politik

BERSATU sedang ambil tindakan enam ahli sokong PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan mengiringi calon PN, Khairul Azhari Saut pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Hulu Selangor hari ini. FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: BERSATU sedang melaksanakan tindakan susulan berhubung kedudukan enam ahli parlimen parti itu menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dengan alasan ia sudah dibincangkan sebelum ini.

“Saya sudah memaklumkan dengan panjang lebar hari itu, jadi saya tak perlu umumkan ini kerana ia satu strategi kita.”

“Tetapi tindakan itu mengikut Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan parti Akta Lompat Parti yang kita luluskan dalam BERSATU.”

“Kita akan patuh prosedur supaya tiada kesilapan. Pihak bertanggungjawab akan dihadapkan dengan apa tindakan yang perlu kita ambil terhadap mereka,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika hadir memberi sokongan kepada calon PN, Khairul Azhari Saut, 54 yang bertanding bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Sebelum ini, notis berhubung status kedudukan enam ahli parlimen itu sudah diserahkan kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Muhyiddin dilaporkan berkata BERSATU sudah berbincang dan membuat keputusan berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut diminta mengulas mengenai keputusan bersamanya berhubung pembatalan saman fitnah daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke atas dirinya seperti diumumkan semalam.

“Itu satu keputusan bersama yang kami buat dan kita ambil perhatian situasi semasa dan saya tidak mahu melanjutkan debat mengenai soal itu, peguam sudah kemukakan (hujah) dan mahkamah bersetuju itu seperti diumumkan semalam,” katanya.

Berhubung isu boikot pengundi bukan Melayu apabila PN meletakkan calon Melayu, Muhyiddin menegaskan tindakan iti hanya memberi kelebihan kepada calon Pakatan Harapan dan bebas.

“Saya nasihatkan jangan boikot. Kalau mereka tidak puas hati, gunakan hak mengundi dan biar kita menang supaya kita jadi pembangkang yang berkesan.”

“Tetapi jika kita boikot dan tidak keluar mengundi, duduk rumah ia satu kerugian dan sebagai pengundi kita tidak sepatutnya berbuat demikian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini