comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad kendalian Toru Oniki berada dalam kelas tersendiri – Solari

JOHOR BAHRU: Kekalahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-5 di tangan Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-Juara Asia malam tadi berpunca daripada kegagalan pemainnya mengimbangi kekuatan kelab Jepun itu.

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berkata, apa yang terjadi pada aksi itu sememangnya amat perit untuk ditelan tapi terpaksa menerima hakikat skuad kendalian Toru Oniki berada dalam kelas tersendiri.

Kekalahan besar itu juga menyaksikan impian Harimau Selatan mengulangi pencapaian musim lalu layak ke pusingan 16 terakhir berkecai.

Mereka akan melengkapkan aksi dalam Kumpulan I berdepan kelab Thailand, BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 12 Disember ini.

Penyerang JDT, Bergson da Silva (kanan) bersaing dengan pemain Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Todoroki, Kawasaki malam tadi. FOTO: JOHOR Southern Tigers / Facebook

“Sememangnya ia malam yang sukar buat kami kerana kami tidak bermain seperti yang dikehendaki dan ini juga bermaksud kami sudah tersingkir daripada saingan walaupun masih berbaki satu perlawanan.

“Kami yakin sebelum turun menentang Kawasaki Frontale tetapi kami tidak bermain seperti yang sepatutnya apabila kerap hilang bola dan gagal berfungsi dengan baik.

“Kami tidak berada dalam perlawanan dan saya rasakan persembahan kami tampilkan tidak seperti yang kami kerap amalkan dan amat sedih apabila kami tewas.

“Saya enggan komen lebih lanjut lagi,” katanya ringkas ketika sidang media selepas perlawanan.

Frontale menghasilkan gol menerusi Akihiro Ienaga pada minit kelapan, Leandro Damiao (m-50), Marcinho (m-60), Yu Kobayashi (m-69) dan Miki Yamane (m-88).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini