comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Joanna selamat dikebumikan di Serian

Oleh: Kadir Edison

SERIAN: Mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kristian Kampung Engkaroh, Serian pada 11.20 pagi tadi.

Jasad mendiang yang tiba pada jam 10.35 pagi, disambut Pasukan Kawalan Jenazah seramai 14 anggota lain-lain pangkat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Van jenazah yang membawa mendiang dari kediaman keluarganya pada jam 10 pagi turut diiringi kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara dan sahabat handai mendiang.

Istiadat pengebumian berakhir dengan penyerahan bendera negara daripada  wakil Jawatankuasa Laksamana TLDM, Laksamana Pertama Franklin Jeyasekhar Joseph kepada ahli keluarga mendiang sebagai simbolik pengorbanan mendiang ketika berkhidmat dengan TLDM.

Turut hadir pada upacara itu, Panglima Satu Divisyen Tentera Darat, Mejar Jeneral Mohd Fauzi Kamis, Penasihat Persatuan Veteran ATM Sarawak, Leftenen Jeneral (B) Datuk Stephen Mundau serta Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Mendiang Laskar Kelas I Joana antara yang terkorban dalam insiden helikopter terhempas ketika melakukan latihan raptai untuk sambutan hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa.

Semalam, lapan jenazah beragama Islam dibawa ke Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan mengikut permintaan keluarga masing-masing.

Mendiang Leftenan T Sivasutan pula dibawa ke kediaman keluarganya di Sitiawan, Perak.

Mendiang Laskar I Satu Joaana Felicia yang berusia 26 tahun meninggalkan suami Haslie Ali, 33, dan dua orang anak masing-masing berusia empat dan satu tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini