comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penipuan pelaburan dalam talian semakin berleluasa

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Skim penipuan pelaburan secara dalam talian dilihat semakin berleluasa menggunakan gambar individu ternama seperti agamawan, selebriti, tokoh korporat dan logo pihak berkuasa untuk menarik perhatian mangsa, kata pakar pelaburan.

Mentor Pelaburan Saham Patuh Syariah, Datuk Mohd Asri Ahmad, berkata beberapa platform media sosial popular menjadi sasaran penipu untuk mengumpan mangsa dengan mengklon akaun media sosial individu ternama bagi memaparkan iklan skim pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh sangat singkat.

Katanya, penggunaan individu ternama terutama agamawan bagi skim pelaburan syariah sudah pasti menarik perhatian ramai.

“Pada 2023, skim penipuan dalam talian dilihat berleluasa dengan menyalahgunakan gambar tokoh sama ada tokoh korporat, asatizah, mentor pelaburan termasuk saya sendiri untuk memperdayakan mangsa.

“Kaedah ini berleluasa dengan tawaran pakej pelaburan serendah RM100 dan menjanjikan pulangan lumayan 10 hingga 100 kali ganda dalam tempoh singkat,” katanya.

Mohd Asri yang juga Pengarah dan Pengasas Bersama Asri Ahmad Academy, tidak menolak situasi ekonomi semasa dengan kadar inflasi yang tinggi mengundang isu kewangan, sekali gus mendorong individu yang terdesak terjebak dengan skim penipuan pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan dalam tempoh singkat untuk menyelesaikan isu kewangan mereka.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak sesekali terpengaruh dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan yang terlalu lumayan dan tidak masuk akal.

“Masyarakat kena cakna. Tiada pelaburan boleh bagi pulangan tanpa risiko. Bila (pelaburan) tiada risiko, itu tidak betul,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, Mohd Asri berkata, pendidikan mengenai celik kewangan penting diberikan sejak muda lagi iaitu bermula di peringkat sekolah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini