comscore
Tumpuan :
Nasional

Lori rempuh 14 kenderaan: Polis pertingkat operasi ke atas kenderaan berat mulai hari ini

Allaudeen pada sidang media Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di hadapan bangunan KLCC. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis dengan kerjasama pelbagai agensi mempertingkatkan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dan komersial di sekitar ibu negara mulai hari ini, susulan insiden sebuah lori merempuh 14 kenderaan lain sehingga meragut nyawa dua penunggang motosikal di Persiaran Utara, Putrajaya semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tumpuan operasi penguatkuasaan adalah di laluan keluar dan masuk ke ibu negara serta Putrajaya.

“Mulai hari ini kita tingkatkan operasi ke atas kenderaan berat dan komersial khususnya disamping operasi harian yang memang sudah dijalankan.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Operasi akan dipertingkatkan di laluan masuk kerana kemalangan semalam contohnya berlaku di laluan masuk dari Puchong, Selangor,” katanya pada sidang media Op Hormat Undang-undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Buletin TV3 melaporkan dua penunggang motosikal terbunuh manakala enam cedera apabila sebuah lori merempuh 14 kenderaan termasuk motosikal anggota trafik di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong.

Mangsa dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, iaitu kakitangan di Mahkamah Ampang.

Sebelum kejadian, anggota trafik memberhentikan kenderaan di lokasi, sebahagian daripada latihan pengalihan trafik sebagai persiapan awal acara berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL).

Pemandu lori satu tan yang membawa muatan batu berusia 25 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut, Allaudeen berkata aliran trafik ketika itu adalah tenang dan anggota polis bertugas memberhentikan trafik mengikut prosedur ditetapkan.

“Saya suka ingatkan kepada semua pemandu perlu bertanggungjawab di atas jalan raya dan sentiasa tumpukan perhatian.

“Ini kerana kalau ada sebahagian yang mengambil ringan (undang-undang) dengan bercakap di telefon semasa memandu dan sebagainya boleh akibatkan kemalangan.

“Malah penggunaan aplikasi navigasi pada telefon pintar boleh mengakibatkan kemalangan kerana dalam keadaan itu (melihat telefon) tindak balas kita menjadi lambat,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pemilik dan pemandu kenderaan berat serta komersial supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik untuk dipandu di jalan raya.

Mengenai perkembangan siasatan, Allaudeen berkata, permohonan reman ke atas pemandu itu akan dibuat di Mahkamah hari ini.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku kerosakan teknikal atau kecuaian daripada pihak pemandu.

“Dari segi teknikal kita perlu tunggu laporan JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom), tapi kita percaya mungkin ada kecuaian pemandu.

“Apa pun kita perlu pastikan siasatan terperinci dijalankan sebelum dapat membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kejadian,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini