comscore
Tumpuan :
Jenayah

Peras ugut: Anggota polis dibebas dengan jaminan polis

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis yang dipercayai melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, membabitkan jumlah RM2,000, dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superitenden Lim Jit Huey berkata, tempoh tahanan reman kedua suspek itu tamat hari ini.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret R Salini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Dua anggota polis terbabit sebelum ini direman tiga hari bermula Sabtu dan berakhir semalam, kemudian disambung reman sehari lagi yang berakhir hari ini.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar memaklumkan, kedua-dua anggota polis berumur 32 dan 33 tahun yang bertugas di BSI itu, ditahan jam 1.50 petang, oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS.

Beliau berkata, satu laporan polis diterima jam 12.23 tengah malam Jumaat, berhubung seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun mendakwa diperas ugut oleh dua anggota terbabit pada 2 April lalu.

Kumar juga memaklumkan, siasatan awal mendapati semasa mangsa melalui BSI untuk pemeriksaan imigresen ditahan oleh kedua suspek, kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Suspek telah memeras ugut mangsa supaya membayar wang sejumlah RM2,000 bagi mengelakkan daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini