comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM beku akaun ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun peribadi milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit.

Ia susulan siasatan ke atas kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.

Menurut sumber, SPRM sebelum ini turut menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan berusia 70-an itu serta merampas beberapa dokumen berkaitan kewangan.

Jelas sumber, SPRM juga telah merakam keterangan beberapa saksi penting dari agensi kerajaan terlibat dan juga individu dari syarikat yang mendapat perolehan membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan Malaysia.

“Lebih 100 akaun persendirian dan syarikat bernilai jutaan ringgit yang berada di bawah kawalan Tan Sri berkenaan telah dianalisis bagi melihat trend pemindahan wang kepada individu tertentu. Daripada jumlah tersebut, SPRM telah membekukan beberapa akaun yang jumlahnya dianggarkan puluhan juta ringgit,” kata sumber.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun tersebut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan menyiasat penglibatan individu tertentu dalam kerajaan berhubung dakwaan rasuah bagi mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 billion.

Terdahulu, media yang memetik sumber melaporkan, Tan Sri yang dimaksudkan itu adalah sekutu rapat kepada bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin yang ketika ini turut berdepan siasatan SPRM berhubung sumber kekayaannya.

Loading...
Terkini