comscore
Tumpuan :
Nasional

Acryl Sani dahului senarai penerima darjah kebesaran TYT Sabah

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KOTA KINABALU: Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendahului senarai 1,209 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah sempena Hari Lahir Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, esok.

Beliau yang juga Bekas Ketua Polis Negara menerima darjah kebesaran tertinggi negeri Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Selain beliau, seorang lagi menerima darjah kebesaran yang sama ialah Presiden Persatuan Alumni Universiti Taiwan Malaysia, Datuk Dr Tang Yong Chew, menjadikan hanya dua penerima SPDK tahun ini.

Sementara itu, seramai 88 orang individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup; dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.

Selain itu, turut menerima PGDK ialah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Asits Sanna; Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Che Engku Suhaimi Che Engku Daik; dan Panglima Armada Timur, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.

Seterusnya ialah Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Effendi Mohd Sunoh; Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Ceasar Mandela Malakun; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Senior Asistan Komisioner Habibi Majinji dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin.

Selain itu, bekas Ketua Biro Berita Harian Sabah yang kini Ketua Pengarang Utusan Borneo, Lichong Angkui dan penyanyi malar hijau Kadazandusun, Francis Landong turut menerima PGDK.

Penerima lain antaranya ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC), Jamawi Jaafar; Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Kenny Chua Teck Ho dan Pengarah Tabung Haji Sabah, Datin Nurlaila Said.

Sementara itu, bekas Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Allahyarham Ag Askandar Ampuan Yaacub yang terkorban ketika misi pendakian Gunung Everest pada Mei lalu menerima pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) secara Posthumous.

Secara keseluruhan, seramai 1,209 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah.
Selain dua penerima SPDK dan 88 PGDK, selebihnya ialah lapan orang penerima Jaksa Pendamai (JP), diikuti Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) (118), Ahli Darjah Kinabalu (ADK) (228), Bintang Setia Kinabalu (BSK) (281), Bintang Kinabalu (BK) (310) dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) (174).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini