comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat kru helikopter AW139 dilapor stabil dan selamat

Helikopter AW139 milik Maritim Malaysia yang terhempas di Perairan Pulau Angsa, Klang semalam berjaya dibawa naik jam 12.15 tengah malam tadi. – FOTO: APMM

KUALA SELANGOR: Empat kru helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, di sini pagi semalam dilaporkan stabil dan selamat.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, mereka sudah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Maritim Malaysia, semalam.

“Maritim Malaysia memohon semua kru terbabit diberi ruang dan tidak diganggu mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan setelah melalui kejadian semalam,” katanya.

Semalam, agensi itu mengesahkan helikopter miliknya melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada jam 9.55 pagi namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria turut disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Dalam pada itu, bangkai helikopter tersebut berjaya dibawa keluar tengah malam tadi.

Menurut Hamid, helikopter itu dibawa naik dengan bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara Maritim Malaysia, kira-kira jam 12.15 tengah malam.

“Pesawat itu kemudian dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang dan seterusnya dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 3.30 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini