comscore
Tumpuan :
Nasional

Jatuh terduduk selepas suami pergi secara tiba-tiba

Nor Pahidah Mat Zaman (kanan) bersama anak-anaknya melihat gambar kenangan mereka bersama Allahyarham di kediaman mereka di Seksyen 24, Shah Alam hari ini.- Foto: NSTP

SHAH ALAM: Balu Md Rizal Atan, yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lalu memberitahu pemergian suaminya secara tiba-tiba itu membuat dia ‘jatuh terduduk’.

Nor Pahidah Mat Zaman, 43 berkata ketika ini beliau masih cuba menerima pemergian suaminya serta memikirkan masa depan anak-anaknya yang masih bersekolah.

“Saya memang tak boleh nak fikir apa-apa lagi (perancangan selepas pemergian suami) kerana sebelum ini saya memang mengharapkan sumber pendapatan daripada suami sebab saya tidak bekerja dan suri rumah sepenuh masa.”

“Sekarang hendak bekerja pun umur sudah 43 tahun tambahan pula saya ada anak kecil berusia empat tahun.”

“Bila dia pergi, saya ibarat jatuh terduduk kerana urusan perbelanjaan rumah serta anak-anak diuruskan Allahyarham. Apa sahaja yang saya lakukan selepas ini adalah untuk anak-anak,” katanya ketika ditemui di Seksyen 24 di sini, hari ini.

Beliau pada masa sama sempat mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan Allahyarham suaminya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Nor Pahidah Mat Zaman di kediaman keluarga isteri mangsa di Seksyen 24, Shah Alam hari ini.-Foto: NSTP

Katanya, bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak akan digunakan sebaiknya untuk persekolahan empat anaknya yang berusia 19 tahun hingga empat tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini hadir menziarahi keluarga Allahyarham Md Rizal di Seksyen 24 dekat sini.

Mohd Sabirin berkata sebaik melihat berita Allahyarham meninggal dunia dalam insiden pokok tumbang itu, pihaknya segera membuat semakan jika keluarga mangsa menetap di Selangor.

Katanya, bancian oleh LZS mendapati keluarga ini layak menerima bantuan di bawah kategori fakir.

“Dalam masa terdekat ini LZS memberikan bantuan kecemasan berjumlah RM500 dan sedikit bantuan makanan sementara untuk keluarga ini.”

“Daripada bancian seterusnya yang dilaksanakan pagi tadi, pihak kami mendapati keluarga ini layak untuk bantuan lain seperti bantuan kewangan bulanan berjumlah RM500; bantuan sewa bulanan yang mana kami masih menunggu maklumat lanjut dan bantuan makanan bulanan,” katanya.

Beliau berkata, LZS juga sedang melihat bantuan pendidikan yang layak diberikan kepada anak-anak Allahyarham.

“Insya-Allah jika mereka layak, kita akan teruskan penyaluran bantuan ini,” katanya.

Loading...
Terkini