comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan: Taman permainan bertukar suram, sunyi

PETALING JAYA: Daripada bunyi hilai tawa setiap hari, kini taman permainan kanak-kanak di Blok R Apartmen Idaman dekat sini suram dan sunyi sepi.

Ia selepas tragedi kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 yang sudah memasuki hari keempat di kawasan berkenaan.

Berdasarkan tinjauan kelihatan kanak-kanak tidak lagi dibiarkan bebas dengan rata-rata penghuni sentiasa mengawasi pergerakan anak mereka dan berpimpin tangan.

Seorang penduduk, enggan dikenali berkata taman permainan di kawasan itu lazimnya dipenuhi kanak-kanak sekitar jam 5 petang untuk bermain.

“Kebiasaannya, penjual ais krim akan berada berdekatan menjadi sasaran kanak-kanak membeli makanan kegemaran mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Bahkan taman permainan itu didakwa turut menjadi lokasi kegemaran Allahyarham Zayn Rayyan.

Ketika ditanya mengapa lorong di blok itu kelihatan gelap walaupun pada siang hari, dia berkata bahawa lorong berkenaan akan menyala tepat jam 7 malam apabila lampu dihidupkan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan polis mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) 228 individu Apartmen Idaman bagi membantu siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Kesemua sampel DNA itu diambil secara beramai-ramai daripada sebahagian penduduk di 18 blok apartmen berkenaan termasuk Blok R.

Polis mengklasifikasikan kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh selepas proses bedah siasat mendapati terdapat kecederaan di leher dan badan mangsa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini