comscore
Tumpuan :
Nasional

Konsep MADANI meliputi kepentingan pelbagai kaum, agama

KUALA LUMPUR: Konsep MADANI yang diperkenal oleh Kerajaan Perpaduan adalah inklusif serta meliputi kepentingan pelbagai kaum, agama dan wilayah di negara ini.

Menjelaskan perkara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata konsep berkenaan tidak bercanggah dengan fahaman mana-mana kaum walaupun ia menekankan kepentingan ajaran Islam.

Beliau berkata demikian menerusi sesi Dialog MADANI sempena Majlis Perasmian Penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

“MADANI tentunya (menekankan ajaran Islam) kerana majoriti (rakyat di negara ini) adalah orang Islam dan ia adalah agama Persekutuan maka kita perkuatkan tetapi hujah (konsep MADANI) itu universal.

“Kita bawa mesej itu (dalam konsep MADANI) bagi orang Islam adalah (perkukuhkan) aqidahnya, akhlaknya, ibadahnya tetapi mesej kemanusiaan, negara, keadilan (juga ditekankan) untuk rahmat kebaikan dan keselamatan bagi semua,” katanya.

Beliau juga meminta supaya tiada rakyat daripada pelbagai kaum mempunyai sebarang prasangka terhadap konsep MADANI kerana ia dirangka demi kebaikan semua dan kemajuan negara.

“Dalam konteks kenegaraan, kita harus santuni semua dan harus memeluk, mendampingi serta mengajak semua untuk bermuafakat mendirikan dan menjayakan negara ini.

“Sebab itu dalam dasar MADANI, saya sebut (kerajaan secara) telus bantu semua sekolah tanpa mengira kaum dan agama, menoktahkan kemiskinan semua kaum dan agama maka semua harus lihat dari segi positif pelaksanaannya,” kata beliau.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan Kutipan Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin peringkat Perkhidmatan Awam bernilai RM16.4 juta kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini