comscore
Tumpuan :
Nasional

MB Perak santuni keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (kiri) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berbual bersama Azhar Khaiden (baju Melayu biru) di kediaman keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor di Tanjung Malim hari ini. – FOTO: NSTP

TANJUNG MALIM: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di kediaman keluarga anggota polis itu di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor, di sini, malam ini.

Beliau yang tiba jam 8.30 malam meluangkan masa kira-kira 30 minit berbual dan memberikan kata-kata semangat kepada bapa Allahyarham, Azhar Khaiden, 54.

Saarani kemudian turut menyertai kira-kira 50 jemaah pada majlis bacaan Surah Yasin dan tahlil di kediaman keluarga Allahyarham.

Terdahulu, Saarani dilaporkan berkata Kerajaan Perak akan menyalurkan sumbangan khas RM5,000 kepada keluarga Ahmad Azza Fahmi.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi semalam, Ahmad Azza Fahmi terkorban akibat ditetak seorang lelaki bertopeng dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Kejadian serangan itu turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban akibat ditembak di bahagian bahu dan perut oleh individu sama.

Manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan dalam insiden serangan berkenaan dirawat di zon merah sebelum ini dilaporkan telah berada dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke wad biasa di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Penyerang itu kemudian berjaya ditembak mati oleh pihak polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini