comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Stoking kalimah Allah: Pengarah KK Mart, pembekal didakwa hari ini


Oleh: Siti Khadijah Jaafar & Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SHAH ALAM: Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd serta pengarah-pengarah syarikat itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam dengan cara mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran bagi tujuan jualan.

Turut akan didakwa, Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd dan pengarah-pengarahnya di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat sebagai pembekal stoking bercetak kalimah Allah kepada Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd.

Difahamkan semua tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen 11 dihadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Sementara itu, di luar perkarangan mahkamah kira-kira 30 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Shah Alam kelihatan mengawal keadaan.

Ia sebagai langkah siap siaga jika ada pihak berkemungkinan mengadakan protes atau demonstrasi berhubung isu berkenaan.

Kontroversi berhubung isu itu bermula setelah ia tular pada 13 Mac lalu di media sosial dengan gambar produk yang dijual di KK Mart Bandar Sunway dimuat naik pengguna.

Bagaimanapun pengurusan KK Super Mart 16 Mac lalu dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pihak pembekal.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita dan bertitah mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini