comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak tahan dimarahi, punca buruh bunuh majikan guna tukul besi

Foto hiasan

MELAKA: Tidak tahan sering dimarahi kerana gagal menyiapkan kerja, seorang buruh ladang kelapa sawit warga Indonesia bertindak kejam membunuh majikannya dengan tukul, minggu lalu.

Mayat mangsa, Ong Kok Kim, 71, ditemui disorok di sebuah pondok kebun kelapa sawit, di Paya Rumput Jaya, di sini pada 27 Disember lalu dan dipercayai dibunuh pada 22 Disember.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan dibuat anak lelaki mangsa berusia 39 tahun pada 26 Disember lalu selepas gagal menghubunginya sejak 22 Disember dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian pada 27 Disember dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang dan berpakaian lengkap baju T dan berseluar jeans serta berkasut, di bilik pertama pondok berkenaan.

“Pintu pondok dikunci dari luar dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah pada bahagian belakang kepala si mati dan lantai.

“Terdapat juga dua kesan tikaman di bahagian di belakang kepala si mati berukuran kira-kira 3.81 sentimenter selain terdapat sebentuk cincin pada jari manis tangan kirinya.

“Bagaimanapun kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger milik anak si mati didapati hilang termasuk barangan seperti beg silang, telefon bimbit dan kad T&Go,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tempat kejadian adalah sebuah kebun sawit kira-kira 6.07 hektar milik si mati dan dua adik-beradiknya dan pondok berkenaan dibina pada awal 2013 dan mempunyai dua bilik kecil untuk menyimpan barangan kegunaan kebun.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, hasil siasatan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menyerbu sebuah rumah di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor dan menangkap suspek pada 30 Disember lalu, kira-kira jam 4 petang.

Katanya, pasukan serbuan terpaksa memecahkan pintu dan menyerbu sebelum menahan suspek berusia 25 tahun di bilik tidur hadapan selepas menunggu 30 minit disebabkan penghuninya tidak memberikan kerjasama apabila pintu diketuk.

“Hasil soal tanya, suspek mengaku semasa berada di kebun pada 22 Disember lalu kira-kira 12 tengah hari, dia dimarahi oleh si mati dengan kasar kerana belum menyelesaikan kerja diarahkan hingga suspek hilang sabar lalu memukulnya di belakang kepala hingga terjatuh terbaring.

“Suspek kemudian menarik si mati ke dalam bilik sebelum mengambil barangan peribadi dan mengunci pintu,” katanya.

Katanya, suspek kemudian memandu kenderaan dan menjual telefon bimbit si mati di Bukit Rambai sebelum melarikan diri ke Negeri Sembilan.

“Kenderan itu ditinggalkan di Rembau akibat kehabisan minyak dan suspek kemudiannya menaiki Grab ke Stesen Bas Tampin sebelum menaiki bas ke Klang dan bersembunyi di rumah rakannya sebelum ditahan polis.

“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk dompet mangsa daripada suspek mengandungi kad bank, telefon bimbit, tukul besi, kunci Ford Ranger,” katanya.

Christopher berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek direman tujuh hari di lokap Balai Polis Melaka Tengah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini