comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga kematian akibat denggi dilapor minggu lalu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,948 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) bagi tempoh 3 hingga 9 Disember lalu berbanding 2,988 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 40 kes (1.3 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, terdapat tiga kematian akibat komplikasi penyakit tersebut direkodkan.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 49/2023 adalah sebanyak 114,365 kes berbanding 60,110 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 54,255 (90.3 peratus).

“Manakala sejumlah 87 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 44 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, bilangan lokaliti hotspot meningkat dengan 101 lokaliti dilaporkan berbanding 95 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 78 lokaliti dicatatkan di Selangor, 12 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Perak (6), Sabah (3) serta masing-masing satu lokaliti di Kelantan dan Sarawak.

Mengulas lanjut, menurut Dr Muhammad Radzi, tiada kes chikungunya direkodkan pada ME 49/2023 menjadikan jumlah kumulatif kekal 192 kes.

Bagaimanapun, terdapat satu wabak chikungunya yang masih aktif di daerah Petaling, Selangor pada ME 49/2023.

“Bagi survelan zika, sebanyak 3,603 sampel darah dan 395 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, kelewatan pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan dikenal pasti antara faktor utama yang menyumbang kepada kematian denggi.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat untuk mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya bergejala seperti demam tinggi secara tiba-tiba; sakit otot, tulang dan sendi; sakit kepala yang kuat serta sakit di belakang mata.

“Lebih merisaukan apabila gejala ini disusuli dengan muntah-muntah, cirit birit serta pendarahan gusi di mana jika ianya tidak dirawat dengan segera, ia boleh mengakibatkan komplikasi denggi dan seterusnya menyebabkan kematian.

“Rawatan awal boleh mengelakkan komplikasi dan menyelamatkan nyawa. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” menurut kenyataan itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini