MANJUNG: Adik sepupu Leftenan T Sivasutan, 31, seorang daripada mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini berkata tubuhnya tidak berhenti menggigil apabila menerima perkhabaran duka itu.
M Sivanesan, 23, sedang bekerja di Manjung sebelum mendapat tahu mengenai insiden itu pada kira-kira jam 10.30 pagi menerusi maklumat dan gambar selain video yang tular di laman sosial.
Bimbang jika abang kandungnya, yang juga anggota TLDM dan juruterbang bagi pasukan keselamatan itu, turut terbabit dalam nahas berkenaan, dia terus menghubungi ibunya bagi mendapatkan kepastian.
Walaupun dimaklumkan bahawa abangnya tidak terbabit, Sivanesan berkata, hatinya luluh apabila mengetahui Sivasutan pula disahkan sebagai seorang daripada mangsa yang maut dalam nahas itu dan dia terus bergegas ke rumah ibu saudaranya.
“Apabila mendengar berita itu daripada emak saya, badan saya terus menggigil. Memang sedih sebab dia selalu datang ke rumah saya dan banyak bercerita dengan saya,” katanya kepada pemberita di rumah ibu bapa mendiang Sivasutan di Sitiawan dekat sini malam ini.
Sivanesan berkata, dia juga terkenangkan sikap Sivasutan, anak kedua daripada tiga beradik, yang sering memberi peringatan kepadanya supaya jangan cepat mengalah dalam mengejar cita-cita.
“Dulu saya suka dengan unit beruniform tetapi lama-kelamaan, saya lebih gemarkan bidang pelancongan.
“Mendiang selalu cakap kalau suka sesuatu itu, pastikan bekerja keras sehingga dapat dan akhirnya saya berjaya juga dapatkan diploma dalam bidang pengurusan pelancongan,” katanya.
Dia juga berkata, ibu bapa mendiang Sivasutan, R Paramesvary, 60, dan M Thanjappan, 61, masih menangis kerana tidak dapat menerima kehilangan satu-satunya anak lelaki mereka, yang baru melangsungkan perkahwinan pada Januari lalu.
Sivanesan berkata, isteri abang sepupunya itu, yang dikenali sebagai Tharshini, 31, adalah seorang doktor gigi manakala adik perempuan dan kakak mendiang kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi proses bedah siasat.
Dia turut memaklumkan jasad Sivasutan akan dibawa pulang ke rumahnya di sini untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa ke tanah perkuburan di Sitiawan untuk dibakar. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [KEMAS KINI] Helikopter terhempas: Identiti dan wajah 10 mangsa nahas
- Helikopter terhempas: Tujuh mangsa lelaki, tiga wanita dibedah siasat di HRPB – Polis
- [KEMASKINI] [VIDEO] Nahas helikopter di Lumut, 10 maut
- Nahas helikopter di Lumut, dipercayai berlanggar di udara
- [VIDEO] Nahas helikopter di Lumut: TLDM sahkan semua 10 mangsa maut
- Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi helikopter Lumut
- Mindef akan nilai semula penganjuran ulang tahun TLDM ke-90
- Nahas helikopter di Lumut: CAAM aktifkan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika KL
- Helikopter terhempas: Identiti 10 mangsa sedang dikenal pasti – Khaled Nordin
- [VIDEO] Helikopter terhempas: Laporan interim nahas akan disediakan secepat mungkin
- Helikopter terhempas: Sultan Selangor zahir rasa amat sedih, dukacita
- Helikopter terhempas: 21 anggota bomba terbabit dengan operasi mengeluarkan mangsa