comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga, waris mangsa kemalangan tiba di Jabatan Forensik

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya sejurus selepas waris dua mangsa yang meninggal dunia dalam nahas di Jalan Persiaran Utara, berdekatan Presint 12 semalam, tiba di sini awal pagi tadi.

Mereka ialah ahli keluarga dua penunggang motosikal iaitu kakitangan Pos Malaysia, Faris Haziq Abu Bakar, 25 tahun dan juga penjawat awam di Mahkamah Ampang, Yuswar Mohd Uyus, 39 tahun.

Ketika ini pihak keluarga sedang menunggu proses bedah siasat yang baru bermula kira-kira pukul 9 pagi tadi sebelum dibenarkan menuntut jenazah untuk proses pengebumian.

Menurut isteri Allahyarham Yuswar Mohd Uyus, Khairunnisa Abdul Muthalif, 39 tahun proses bedah siasat suaminya akan dilakukan selepas proses bedah siasat Fariz Haziq selesai.

“Saya difahamkan proses bedah siasat ini mengambil masa kira-kira tiga jam. Suami saya patient kedua, bermakna selepas jenazah pertama (Fariz Haziq) barulah bedah siasat suami saya dilakukan”, katanya kepada Buletin TV3.

Beliau yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran kelihatan tenang sambil ditemani anaknya Nuriman Yuswar, 12 tahun dah ahli keluarga lain.

“Anak saya buat masa ni dia hanya tahu ayah dia dah pergi, tapi dia tak tengok lagi keadaan bapanya, so dia tak berapa nak faham lagi kejadian sebenar”.

Jenazah suaminya akan disembahyangkan di Masjid Az- Zubir, Cheras dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda, Batu Caves.

Sementara itu, ibu Allahyarham Haziq Abu Bakar, 25, Mazlina Mansor, 56 tahun berkata, beliau sempat melihat jenazah anaknya ketika membuat pengecaman petang semalam.

“Alhamdulillah arwah takde apa-apa, kepala semua ok, cuma mungkin pendarahan dalaman je, beg telefon semua ok dia sebenarnya suka pergi kerja awal sebab takut hujan ke, jalan jem ke katanya. Pagi semalam sebelum dia keluar bekerja saya sempat nasihat jangan bawa motor laju-laju, hati-hati”, katanya sebak.

Jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Lalang, Semenyih.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz yang ditemui disini pula berkata, ketika ini proses reman pemandu lori treler sedang dilakukan di Mahkamah Putrajaya.

“Kita minta reman dulu dan kita pun telah ambil daripada pelbagai sudut proses siasatan khususnya dari segi teknikal yang diambil kira untuk kita membuat konklusi dan kita majukan kertas siasatan ini supaya kes ini dapat disempurnakanlah”, katanya.

Setakat ini juga lapan saksi kejadian telah dipanggil memberi keterangan.

Beliau terdahulu menziarahi dan menyantuni keluarga mangsa yang hadir di Jabatan Forensik ini.

Dalam sidang media semalam, pihaknya mengesahkan 14 buah kenderaan terbabit dalam nahas itu yang menyebabkan 14 mangsa cedera dan dua maut.

Nahas berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir dan batu dari arah Kajang menghala ke Puchong hilang kawalan sebelum melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Sebelum itu, kenderaan lain yang terbabit nahas terlebih dahulu memberhentikan kenderaan selepas diarahkan polis yang terlibat dengan penutupan jalan di lokasi kejadian.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini