comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya doa Allah ampunkan semua dosa mami’ 

Muhammad Daiyan menangis teresak-esak sepanjang melihat pengebumian Bella di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, Batu Pahat, petang semalam. – Foto: NSTP

BATU PAHAT: Anak saudara Bella atau Mila Sharmila Samsusah yang dipeliharanya sejak kecil meluahkan rasa sedih ketika ditemui pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Jalan Tanjung Laboh, petang semalam.

Muhammad Daiyan Aimar Fairuzizan,10 berkata dia berdoa setiap hari agar Bella selamat sejak berita kehilangannya lebih sebulan lalu.

“Sepanjang tempoh mami hilang selama lebih sebulan, setiap hari saya berdoa semoga mami selamat.

Saya sangat rindukan mami, tetapi akhirnya sedih apabila dimaklumkan mami sudah tiada kerana mati dibunuh,” katanya sambil mengalirkan air mata dan menangis teresak-esak.

Muhammad Daiyan terpaksa dipegang dan ditenangkan ahli keluarga ketika menabur bunga di pusara Bella yang dipanggilnya mami.

Muhammad Daiyan yang juga anak kepada kakak Bella, Norhisham, 36, berkata sepanjang kehilangan wanita yang dianggap ibu kandungnya itu, dia kebingungan dan bimbang dengan keselamatannya.

“Mami jaga saya penuh kasih sayang, tidak pernah sesekali memukul saya. Apa saja yang minta, pasti mami tunaikan, tetapi kenapa ada orang bertindak begitu terhadapnya sampai saya kehilangan mami,” katanya sambil menitiskan air mata.

Semalam, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Batu Pahat, atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Lelaki itu adalah suspek utama pembunuhan Bella selepas dia memandu arah polis ke lokasi penemuan rangka wanita itu di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, pada petang Jumaat lalu.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Sabtu lalu, mengesahkan rangka itu milik Bella kerana ia sepadan dengan sampel diambil daripada ibu dan kakaknya.

Sementara itu, ditanya pesanan terakhir Bella kepadanya, Muhammad Daiyan yang juga murid Tahun Tiga itu berkata, maminya itu kerap memintanya tidak meninggalkan solat dan jangan nakal.

“Walaupun sejak kecil saya dijaga mami, tetapi dia selalu berpesan supaya saya dengar cakap ayah, ibu dan jangan nakal. Mami sangat baik dengan saya, sebab itu saya sedih apabila mami sudah tiada.

“Saya doakan Allah ampunkan semua dosa mami,” katanya.

Sementara itu, anak lelaki Bella, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, kelihatan terpinga-pinga dan seakan sukar memahami apa yang berlaku ketika melihat jenazah ibu mereka dikebumikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini