comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kes tembak KLIA: Hafizul mengaku tidak bersalah cubaan bunuh isteri, cederakan pengawal peribadi

Hafizul Hawari 38, yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, KLIA Sepang pada 14 April lalu diringi anggota polis ketika tiba untuk pendakwaan di Kompleks Mahkamah Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi. – FOTO: NSTP

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

SEPANG: Lelaki yang melepaskan tembakan di Terminal 1, KLIA dua minggu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh isterinya, serta mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi.

Tertuduh Hafizul Hawari, 38, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba membunuh Farah Md Isa kira-kira 1.09 pagi di aras 3, Terminal 1, KLIA, 14 April lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula , lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi, Mohd Nur Hadith Zaini.

Perbuatan dilakukan pada tarikh, lokasi dan masa yang sama.


Pertuduhan dibuat mengikut Sesyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan tarikh sebutan kes ditetapkan 11 Jun depan.

Dalam kejadian14 April lalu, tertuduh melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi wanita itu di Balai Ketibaan KLIA.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Suspek terus melarikan diri sebelum diberkas polis di Kota Bharu, sehari kemudian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini