comscore
Tumpuan :
Jenayah

Along dah mula sedar – Isteri

Muhammad Nur Hadith Zaini bersama isterinya dan tiga anak ketika menyambut Aidilfitri.

KUALA LUMPUR: Pengawal peribadi yang merisikokan nyawanya bagi menyelamatkan majikannya sudah mula sedar sejak semalam.

Muhammad Nur Hadith Zaini, 38, yang ditembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan ini bagaimanapun masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Isteri beliau, Siti Noraida Hassan, umur juga 38 tahun memberitahu New Straits Times bahawa doktor telah mula mengurangkan pemberian ubat penenang dan suaminya telah mula sedar serta memberi sedikit tindak balas.

Katanya, Muhammad Nur Hadith perlu melakukan dialisis kerana tembakan itu telah memberi kesan kepada buah pinggangnya.

“Dia masih di ICU. Dia mula sedar sejak semalam tetapi masih menggunakan alat bantuan pernafasan. Doktor baharu mulakan proses dialisis,” katanya.

Jelas Siti Noraida, doktor memberitahunya proses dialisis itu mungkin bagi tempoh sementara.

Siti Noraida berkata tiga orang anak mereka, umur 3, 10 dan 13 amat merindui bapa mereka dan masih bertanyakan mengenai keadaan Muhammad Nur Hadith.

“Pihak hospital membenarkan (mereka untuk melawat ayah mereka) tetapi saya tidak bawa mereka. Saya berharap untuk menunggu suami dipindahkan ke wad biasa sebelum membawa anak-anak kerana saya tidak mahu emosi mereka terjejas,” katanya.

Muhammad Nur Hadith yang turut dikenali sebagai Along menjalani pembedahan usus pada 16 April lalu.

Ia adalah pembedahan pertama yang terpaksa ditempuh beliau selepas dia ditembak.

Dalam kejadian pada jam 1.20 pagi itu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya di pintu masuk balai ketibaan itu tetapi tersasar dengan salah satu tembakan terkena Muhammad Nur Hadith.

Suspek kemudian melarikan diri ke bahagian tempat meletak kenderaan di Blok C tetapi ditangkap polis di Kota Bharu, Kelantan pada keesokan harinya, 36 jam selepas kejadian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata suspek dikenali sebagai Hafizul Hawari, 38.

Suspek dijangka didakwa tidak lama lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini