comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ’54 hari selepas Allahyarham pergi, kami reda walaupun rindu tiada penghujungnya’ – Abang

Oleh: Fareez Azman

IPOH: 54 hari selepas pemergian Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar tingkatan 5 yang meninggal dunia dalam kejadian langgar membabitkan seorang pegawai kanan polis pada 15 Disember lalu, ternyata masih segar dalam ingatan.

Abangnya, Zarrul Fitri Muhd Zamrie, 30, berkata, meskipun reda dengan kejadian menimpa Allahyarham, namun setiap kali pulang dari kerja, hatinya sebak menahan kerinduan terhadap adik kesayangannya itu.

“Kami reda apa terjadi, ada masa bila rindu menitik juga air mata, bila rindu arwah tiada penghujungnya. Kami terima dengan hati terbuka, kami berdamai dengan takdir Allah SWT,” jelasnya.

Ujar Zarrul, setiap kali pulang selalunya Allahyarham akan menegurnya namun ia tinggal kenangan.

“Arwah selalu terutama bila balik kerja, saya akan nampak dia lepak tempat biasa (sudut dalam rumah) buat motor, tapi bila saya balik kerja tempat tu gelap tiada orang lepak.

“Selalunya dia akan datang (pada saya), cakap kat saya along belanja saya ini, belanja makan ini, dah takda benda tu. So terasa lah kehilangan Allahyarham,” katanya lagi.

Ketika bercerita, ternyata air matanya gugur mengenang kenangan bersama Allahyarham.

Namun ujar Zarrul, keluarganya semakin tabah dan redha dengan ketentuan takdir.

“Alhamdulilah, semua makin okay, makin dapat terima kenyataan semua kembali kepada keadaan sedia kala.

“Cuma kehilangan itu sentiasa ada, kami cuba berdamai dengan takdir Allah SWT,” katanya lagi.

Dalam kejadian 15 Disember lalu, Allahyarham yang juga pelajar Tingkatan 5 meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu seorang pegawai kanan polis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di daerah Kinta.

Kejadian berlaku diantara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini