comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Belanjawan 2024: Kerajaan terus tambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar ikut penggunaan

 

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.

Pada tahun 2022, trend menunjukkan, 10 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50 peratus subsidi, sedangkan 50 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi yang diberikan.

Maka bermula tahun ini, menurut Perdana Menteri, Kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa yang sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna.

“Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih 4.6 bilion ringgit daripada unjuran subsidi elektrik 20 bilion ringgit. Namun, Kerajaan masih menanggung subsidi elektrik 16 bilion ringgit untuk tahun 2023 khususnya bagi pengguna
di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Kerajaan akan terus menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik. Kerajaan berharap, keputusan ini memberi isyarat tepat kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga dan amalan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik seharian.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga 40 ringgit sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan 55 juta ringgit.

“Selain itu, Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.” ujarnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini