comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa khas Kerajaan Negeri Kelantan teliti keputusan pembatalan peruntukan enakmen

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan Kerajaan Negeri Kelantan akan meneliti keputusan pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan penghakiman bertulis terlebih dahulu sebelum membuat kajian.

“Sudah tentu ianya tidak akan berhenti di sini, kita akan cari jalan apa langkah seterusnya. Ini bukan sahaja membabitkan kepentingan dan kebimbangan Kerajaan Negeri Kelantan tetapi juga seluruh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya yang ditemui di lobi Istana Kehakiman selepas prosiding keputusan, di sini hari ini.

Tambahnya, jawatankuasa khas tersebut diwujudkan pada mesyuarat Exco lalu.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dicabar adalah tidak sah dan terbatal.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen berkenaan.

Ketika membaca penghakiman, Tengku Maimun berkata, pembatalan itu kerana Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut dan intipati peruntukan tersebut adalah berkenaan perkara di bawah senarai Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, beliau bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan mewakili rakyat negeri tersebut menzahirkan rasa kecewa berhubung keputusan berkenaan.

Pihaknya akan memohon perkenan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagi menyembah maklum keputusan itu.

“Saya menyeru kepada semua yang menyokong kami dalam hal ini supaya tunggu dan berdoa dan kita mengharapkan supaya jangan ada yang berbuat sesuatu di luar batasan undang undang. Jangan lakukan sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai provokatif,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan demi kepentingan Mahkamah Syariah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini