comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan petisyen Nik Elin: Menteri Agama mohon perkenan menghadap Agong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya yang mencabar undang-undang jenayah Syariah di Kelantan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menegaskan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas di dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes dan segala ruang serta peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan.

“Saya juga akan segera memohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan.

“Saya juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk kita sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah.

“Jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kita akan segera melakukannya,” ujarnya.

Menurutnya Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh Mantan Ketua Hakim Negara Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi, untuk mengkaji isu berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas berkenaan akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

Dr Nai’m juga menyeru masyarakat bertenang serta tidak membuat sebarang provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini