comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hafizul didakwa tujuh pertuduhan

Tertuduh, Hafizul Hawari, 38, yang juga suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, memakai baju lokap dan dikawal ketat oleh polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Bharu atas tujuh pertuduhan, hari ini. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Hafizul Hawari, 38, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made In Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastic cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan per 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Honda Civic, warna Putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama.

Kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Jenis Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di sini, jam 2 petang, pada 15 April 2024.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah bagaimanapun, tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan senjata api dan tertuduh juga mempunyai kes lain di Selangor, manakala tiga pertuduhan iaitu memiliki kad pengenalan individu lain boleh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pertuduhan nombor pendaftaran palsu juga RM10,000.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini