comscore
Tumpuan :
Nasional

Jerebu: Zahid arah pihak terlibat dalam pengurusan bencana siap siaga

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana untuk sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, arahan itu dikeluarkan memandangkan negara berhadapan perubahan cuaca yang dinamik susulan peralihan monsun yang membawa kepada cuaca panas dan kering serta mengakibatkan jerebu di beberapa negeri.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai terutamanya golongan yang berisiko diancam penyakit akibat jerebu agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan amaran yang dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims), sembilan kawasan di tiga negeri dan dua Wilayah Persekutuan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kategori tidak sihat, setakat jam 4 petang tadi.

Empat lokasi dilaporkan di Selangor iaitu di Petaling Jaya (154), Shah Alam (155), Klang (123) dan Banting (155) manakala dua lokasi di Negeri Sembilan iaitu di Nilai (162) dan Port Dickson (154).

Bacaan IPU kategori tidak sihat juga direkodkan di Taiping, Perak (109); Batu Muda, Kuala Lumpur (137) dan Putrajaya (154).

Pada sama sama, Zahid merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa merujuk maklumat terkini dan sahih antaranya melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar di pautan https://apims.doe.gov.my/home.html dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di pautan www.met.gov.my.

Selain itu, maklumat boleh diperolehi menerusi media sosial jabatan berkenaan atau memuat turun aplikasi myCuaca.

“Semoga kita semua sentiasa dilindungi dari sebarang musibah yang boleh membawa kepada masalah kesihatan, harta benda dan mengancam nyawa,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini