comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan ulangi PADU selamat

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kiri) ketika hadir menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cenderamata sebuah buku daripada bekas pemain ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams sebelum mereka makan tengah hari di Restoran Rebung, Kuala Lumpur. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi memberi jaminan bahawa sistem Pangkalan Data Utama (PADU) berada pada tahap selamat dan tidak pernah digodam mana-mana pihak luar.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata hasil perbincangan bersama beberapa pihak termasuk Cybersecurity Malaysia mendapati pangkalan data yang mengumpulkan data peribadi rakyat Malaysia itu tidak mempunyai masalah kebocoran maklumat.

Sebaliknya beliau berkata sistem yang dilaporkan digodam sebelum ini, membabitkan Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kendalian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Ada beberapa pihak cuba memainkan seolah-olah sistem PADU sudah dibolosi (digodam), ia jauh daripada kebenaran dan ini disahkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli…kerajaan jamin keselamatan data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Negara di sini, hari ini.

“Saya meminta dan menggesa semua orang untuk terus mendaftar di dalamnya (PADU),” tambahnya.

Sebelum ini, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengesahkan dakwaan PADU digodam adalah palsu.

Ia susulan laporan satu forum dalam talian pada Isnin lalu kononnya PADU dan LPPKN telah digodam oleh satu kumpulan pengodam antarabangsa dikenali sebagai R00TK1T.

Mengikut forum dalam talian itu, kumpulan pengodam terbabit mendakwa telah mencuri data daripada PADU dan membolosi infrastruktur keselamatan LPPKN serta mencuri lebih 27GB data dari pangkalan perkhidmatannya.

Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menggalakkan orang ramai mendaftar dalam sistem berkenaan, selain menyeru untuk tidak melepaskan peluang menghadiri Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor hingga Ahad ini.

“Saya lihat program ini cukup baik untuk semua, termasuklah jika ada sesiapa yang hadapi apa-apa kesukaran Ingin mendaftar PADU, pihak DOSM akan membuka kaunter dan boleh bertemu buat pendaftaran ataupun bertanyakan apa-apa soalan kepada pihak DOSM,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini