comscore
Tumpuan :
Nasional

PADU diurus penjawat awam, elak risiko kebocoran data 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika sidang media pasca peluncuran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Putrajaya. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Penjawat awam diberi tanggungjawab sepenuhnya mengawal selia Pangkalan Data Utama (PADU) dan bukannya vendor (syarikat swasta) bagi mengelak insiden dan risiko kebocoran data.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, insiden kebocoran data berlaku disebabkan aplikasi data itu dikendalikan pihak ketiga atau swasta.

Beliau berkata, menerusi PADU, isu dan risiko kebocoran data dapat dikurangkan kerana penjawat awam tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Penjawat awam tertakluk kepada akta itu dan kalau langgar (kebocoran data), ia boleh jadi kes jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.

“Model sebelum ini dengan melantik vendor (pihak swasta) untuk bangunkan data bersepadu kerajaan tidak lagi relevan,” katanya pada sidang media PADU di sini hari ini.

Katanya, kerajaan juga mampu memberi kemas kini data lebih cepat kerana ia dikendalikan dan dibangunkan penjawat awam sendiri.

Rafizi berkata, sebarang pembangunan produk digital adalah proses berterusan dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia terus relevan dan dikemas kini.

“Sebelum ini, kita tidak boleh buat pangkalan data menggunakan satu tingkap (sistem tunggal). Namun, ia tidak boleh dibuat selagi data itu tidak diintegrasikan. Justeru, ia perlu melalui proses oleh kerajaan dan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, pihaknya menyasarkan 500,000 pengguna mengakses PADU setiap hari dengan 200,000 pengguna mendaftar lengkap sehari.

“Ketika ini, proses pendaftaran PADU berjalan lancar seperti dirancang. Kami jangka ia (pendaftaran) akan lebih mencabar minggu kedua namun, ia akan melonjak pada Mac,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini