comscore
Tumpuan :
Nasional

Tahanan lolos diberi makan dan minum sebelum lapor kepada JIM

Keadaan lelaki dipercayai tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor selepas ditangkap oleh penduduk dan polis di Kampung Bermin, Tapah, malam tadi. FOTO: Ihsan Ketua Kampung Bermin

TAPAH: Atas dasar kemanusiaan, sekumpulan pekerja Indonesia sempat memberi makanan dan minuman kepada 13 tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, malam Khamis lalu, sebelum melaporkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ali Manto, 42, berkata, dia dan rakan senegara menyedari kehadiran tahanan Rohingya itu yang cuba mendapatkan perlindungan di sebuah rumah di ladang jambu dekat Kampung Senta, petang kelmarin.

Katanya, dia simpati selepas melihat keadaan badan mereka sudah lesu dan kelaparan, selain pakaian yang sudah basah kerana hujan.

“Tidak sampai hati selepas melihat keadaan mereka lalu kami terus memberi roti dan air untuk mereka makan bagi menghilangkan lapar.

“Kami berasa curiga selepas melihat pakaian dan keadaan diri mereka yang tidak terurus dan kami yakin mereka adalah tahanan yang melarikan diri dari depoh terbabit.

“Kami berpakat sesama pekerja lain untuk biar mereka makan dahulu dan berikan tempat untuk berteduh, sebelum melaporkan kepada pihak imigresen,” katanya ketika ditemui, petang semalam.

Dia yang bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran sejak 10 tahun lalu berkata, sejak kes tahanan lari kecoh dan tular di media negara ini, mereka melihat jika ada pergerakan orang yang mencurigakan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Saya dan rakan bantu pihak berkuasa kerana ini tempat kami mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga kami di kampung halaman dan kami tidak mahu terbabit atau buat hal yang boleh mengganggu kami mencari rezeki dengan aman di negara ini,” katanya.

Seorang lagi pekerja Indonesia dikenali John, 30, pula berkata, pada awalnya, tahanan terbabit cuba menipu dengan mengaku sebagai pekerja ladang yang melarikan diri kerana ditipu oleh majikan.

Katanya, tindakan itu tidak berjaya memperdaya kami yang sebelum ini sudah pun mengetahui terdapat tahanan lari dari depot berkenaan.

“Mungkin kerana terlalu letih dan lapar menyebabkan mereka tidak banyak bercakap selepas diberitahu mereka sudah dua hari tidur dalam hutan.

“Kami memang bersimpati dengan mereka, tetapi apa boleh buat kalau salah tetap salah, menyebabkan kami tidak dapat melindungi mereka dan perlu menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini