comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Belanjawan 2024: 4,100 jalan berlubang sudah dibaik pulih

 

KUALA LUMPUR: Lebih 4,100 jalan berlubang di Jalan Persekutuan yang dikenal pasti sudah dibaik pulih.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan jalan berlubang memandangkan aspek keselamatan jalan raya akan terus diberi pertimbangan utama.

Katanya, kemalangan jalan raya terus menyumbang angka kematian tinggi dengan purata lebih 6,000 kematian termasuk insiden enam sekeluarga maut di Jalan Kuantan-Segamat Bandar Muadzam.

Foto hiasan

“Kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM5.4 bilion yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat.

“Pada tahun hadapan, RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurutnya, khidmat Jurutera Daerah akan terus diperkasa bagi segera menangani aduan kecil dan luar jangka membabitkan Jalan Persekutuan.

“Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM200,000 berbanding RM100,000 kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

“Sebanyak RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus dengan RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara.

“Sebanyak RM50 juta juga disediakan untuk merawat kawasan kemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini