comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Operasi mencari petunjuk difokuskan di kawasan mayat dijumpai

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Memasuki hari kelima operasi pencarian bahan bukti baharu melibatkan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, pencarian hari ini difokuskan di kawasan mayat mangsa dijumpai.

Sejak jam 9:00 pagi tadi, laluan masuk ke kawasan mayat mangsa dijumpai dikawal oleh anggota polis.

Pengamal media juga dihalang daripada memasuki kawasan berkenaan untuk memberi ruang kepada anggota polis membuat siasatan.

Sekitar jam 1:30 tengah hari beberapa anggota peronda turut kelihatan melalui laluan masuk blok berkenaan namun tiada sebarang maklumat yang diperoleh setakat ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa dikatakan hilang selama dua hari sebelum ditemukan meninggal dunia di saliran air berdekatan takungan air, 200 meter dari rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada jam 10:00 malam.

Semalam, 228 sampel DNA asid deoksiribonukleik (DNA) menerusi ‘mass DNA screening’ (ujian DNA beramai-ramai) telah diambil daripada sebahagian penduduk di semua 18 blok.

Pada jam 4.15 petang semalam, beberapa anggota pasukan forensik difahamkan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor datang ke kediaman Zayn dengan membawa kotak.

Kedua-dua ibu bapa Zayn kemudian naik ke kediaman keluarga terbabit di mana pasukan forensik mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum dilihat turun dengan membawa empat beg kertas berwarna coklat.

Ia dipercayai sampel dari kediaman Zayn dibawa pasukan forensik selepas selesai membuat pemeriksaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini