comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Kerajaan realisasikan kesepakatan dalam Perjanjian Malaysia 1963 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI

KUALA LUMPUR: Usaha yang dilakukan sebelum ini dalam menzahirkan kesepakatan dalam Perjanjian Malaysia 1963 telah direalisasikan oleh Kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini, peruntukan Persekutuan untuk pembangunan Sarawak meningkat kepada 5.8 bilion ringgit ketimbang 5.6 bilion ringgit, manakala, untuk pembangunan Sabah meningkat kepada 6.6 bilion ringgit ketimbang 6.5 bilion ringgit.

Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai 50 juta ringgit kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Perpaduan juga telah meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada 300 juta ringgit ketimbang 16 juta ringgit bagi Sarawak dan 125.6 juta ringgit bagi Sabah sebelum ini,” kata Perdana Menteri

Kali terakhir kajian semula Pemberian Khas kepada Sarawak dan Sabah dibuat masing-masing pada 1969 dan 2022.

Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah juga telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

“Kendatipun kuasa kawal selia diserahkan kepada Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu Kerajaan Sabah dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030,”

Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah khususnya di kawasan timur Sabah, Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar
elektrik di selatan Sabah.

Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada Kerajaan negeri.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini