comscore
Tumpuan :
Nasional

Langgar maut pelajar: Keputusan Peguam Negara bukti siasatan polis telus – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk menuduh pegawai kanan polis terbabit kes langgar maut seorang pelajar di Ipoh, Perak kelmarin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan menunjukkan ketulusan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, PDRM hanya menjalankan siasatan berlandaskan undang-undang sedia berdasarkan dapatan yang diperoleh pegawai penyiasat.

“Keputusan ini adalah kebijaksanaan Jabatan Peguam Negara dalam membuat penilaian bersandarkan kepada siasatan yang dilakukan pegawai penyiasat.

“Kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti,” katanya.

Beliau berkata, pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan itu akan ditahan kerja sebaik pertuduhan dibaca esok.

“Apa yang jadi ini diharap akan menjadi pengajaran buat semua warga polis agar tidak mengambil kesempatan di sebalik lencana yang dipakai mereka sehingga boleh mencemarkan nama baik pasukan,” katanya.

Pegawai kanan polis terbabit kes langgar sehingga menyebabkan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh kelmarin akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh esok.

Pejabat Peguam Negara melalui kenyataan berkata, pihaknya mendapati keterangan mencukupi untuk mendakwa suspek yang berusia 44 tahun itu atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek akan dituduh secara tentatif di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum mahkamah sama menetapkan tarikh untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari Jumaat lalu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie maut selepas dilanggar kereta ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Chemor dari SMK Jati.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini